KLIK [X] 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close

7 murid Orang Asli SK Tohoi tidak pulang sejak 23 Ogos lalu


#GUA MUSANG 12 Sept. - Para pemandu pelancong yang berpengalaman luas meneroka gua serta hutan di kawasan daerah ini menyifatkan kehilangan tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi sebagai kejadian yang cukup aneh dan misteri.

Bagaimanapun mereka tetap percaya kanak-kanak terbabit yang hilang sejak 23 Ogos lalu itu masih hidup dan mampu bertahan di dalam hutan tersebut.

Seorang pemandu pelancong, Sabri Zul, 34, berkata, kes kehila­ngan tujuh murid Orang Asli secara serentak dalam tempoh dan hari sama itu merupakan sesuatu yang agak pelik.

Sabri berkata, dia pernah terlibat dalam operasi mencari seorang penuntut universiti tempatan yang hilang selama 19 hari di Gunung Tahan pada tahun 2008, tetapi akhirnya mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat.

Dia yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Sungai Relau, Pahang sejak 16 tahun lalu berkata, mangsa, Nur Umaisarah Sameaun yang ketika itu berumur 21 tahun tidak mempunyai kepakaran ilmu dalam hutan tetapi dapat bertahan hidup hampir 20 hari.

“Saya merasakan kanak-kanak ini masih hidup kerana mereka sudah biasa dengan persekitaran hutan. Jika mengikut pengalaman lepas, orang yang terperangkap di dalam hutan lebih 20 hari sudah tidak bermaya dan fizikalnya memang kurus kering ketika mereka ditemukan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi pemandu pelancong, Mohd. Tahir Mat Saman, 55, berkata, dia yakin kanak-kanak terbabit mampu berdikari selain mencari ikhtiar hidup sepanjang tempoh berada di dalam hutan tersebut.

Beliau yang berpengalaman le­bih 30 tahun sebagai pemandu pelancong berkata, keba­nyakan masyarakat Orang Asli telah diajar mengenai ilmu hutan sejak kecil dan mereka arif tentang selok-belok kawasan tersebut.

“Sesuatu yang agak pelik jika Orang Asli sesat di hutan kerana kawasan berkenaan merupakan tempat asal mereka. Saya rasa mereka tidak akan sesat.

“Masyarakat Orang Asli juga akan melatih dan membawa anak mereka sejak kecil supaya mengetahui kehidupan di dalam hutan,” katanya.

Tambahnya, dia berharap kes kanak-kanak Orang Asli ini tidak mengulangi misteri kehilangan seorang jurutera Petronas di Pulau Keldong dekat Pos Pulat, pada tahun 2004.

“Misteri kehilangan jurutera tersebut sehingga hari ini terus menjadi tanda tanya. Tiada sebarang petunjuk dapat ditemukan sehingga sekarang,” katanya.

Norazlanuddin Samat, 32, pula merasakan kanak-kanak terbabit hanya tersesat dan tidak berkait dengan kejadian mistik sebagaimana yang dibangkitkan sesetengah pihak sebelum ini.

“Kemungkinan tujuh murid tersebut telah tersesat dan mencari jalan pulang ataupun telah disembunyikan. Segalanya berkemungkinan, kerana anggota penyelamat juga masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu walaupun operasi telah dilakukan secara menyeluruh,” katanya - Utusan

0 Response to "7 murid Orang Asli SK Tohoi tidak pulang sejak 23 Ogos lalu"

Post a Comment

ONLINE